Monday, 21 July 2014

MAHKAMAH SYARIAH

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN MAHKAMAH SYARIAH

Pada kurun 15, Islam telah bertapak di Melaka. Undang-Undang Islam mula digunakan apabila pembesar dan raja-raja memeluk agama Islam. Risalah Hukum Kanun, Undang-undang Melaka dan Undang-undang Pahang adalah undang-undang Islam yang telah wujud ketika itu. "Sebelum kedatangan British undang-undang Islam adalah undang-undang negara di Malaysia. Mazhab yang diikuti ialah Mazhab Syafie" kata Hakim Edmond JC – Shaik Abdul Latif, dan Shaik Elia Bux). "Undang-Undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi undang-undang tempatan & undang-undang negara" (Kes Ramah ,Laton – Mah. Rayuan Negeri Melayu Bersekutu –(1927) 6 FMSLR 128). Kejatuhan Melaka pada 1511, Portugis dan kemudiannya Belanda telah menjajah Melaka.

Walaubagaimanapun kedudukan dan pelaksanaan undang-undang Islam tidak terjejas. Mulai 1786, kedatangan Inggeris mengambil Pulau Pinang dan Kedah menjadi titik mula usaha pengenepian Undang-undang Islam. Mereka menganggap Pulau Pinang ketika itu tidak mmepunyai sebarang sistem perundangan (Undang-undang) dan mendakwa undang-undang Islam yang diamalkan adalah zalim.(Dakwaan mereka palsu kerana ketika itu Tanah Melayu telah mempunyai Undang-undang Islam yang bertulis).

Pada 1880 Inggeris mula memenuhi kehendak rakyat Tanah Melayu dengan akhirnya bersetuju menggubal Ordinan Perkahwinan Mohammedan No. 5 Tahun 1880. (kahwin & cerai umat Islam). Pada tahun 1948, ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kehakiman persekutuan memisahkan Mahkamah Syariah dari hierarki mahkamah. Pada masa pemerintahan kuasa asing, segala urusan agama diberi kuasa kepada raja-raja Melayu tetapi terhadap bidang yang terbatas seperti perkahwinan, adat istiadat, dan agama. Sejak Tahun 1952 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Selangor No. 3 ,tahun 1952 dilulus dan dikuatkuasakan. Ia merupakan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam yang pertama, terlengkap ketika itu yang mengatur pentadbiran perundangan Islam. Kuatkuasa undang-undang itu adalah Khas untuk umat Islam dan terhad kepada bidang munakahat, waris kesalahan matrimoni dan kesalahan takzir sahaja. Kemudiannya langkah negeri Selangor itu oleh negeri-negeri lain di Malaysia Barat.

Sultan adalah sebagai Ketua Agama dan mempunyai bidang kuasa perkara-perkara berkaitan dengan hal-hal agama Islam. Keadaan ini diamalkan sejak sebelum merdeka lagi. Sultan bagi setiap negeri di Malaysia dilantik sebagai Ketua Agama yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran agama Islam. Bagi negeri yang tidak mempunyai institusi beraja seperti MelakaPulau PinangSarawak, Wilayah dan Sabah, Ketua Agama yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran agama Islam ialah Yang di-Pertuan Agong.

Mahkamah Syariah dinamakan Mahkamah Kadi bagi menjalankan peraturan dan peruntukan Undang-undang Pentadbiran Agama Islam bagi setiap negeri di Malaysia. Setiap negeri ditubuhkan sebuah Jabatan Agama Islam untuk mentadbir perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang di bawah peruntukan pentadbiran agama Islam. Mahkamah Syariah adalah satu badan penting yang berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam pada setiap negeri. Mahkamah Syariah juga ditubuhkan di setiap daerah Pbagi kebanyakan negeri untuk memudahkan lagi menjalankan pentadbiran agama Islam. Ketua bagi setiap daerah berkenaan dilantik seorang Kadi Daerah.


BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH

Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah

Bidang kuasa jenayah bagi Mahkamah Syariah dijalankan oleh Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa Mahkamah Syariah telahpun ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984). Iai memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.

Semua kesalahan dan hukuman yang disebutkan ini adalah termasuk di dalam konsep takzir yang ditentukan oleh Islam dalam konteks kes-kes jenayah. Dalam konteks Mahkamah Syariah di Malaysia,kesalahan-kesalahan jenayah syariah ini boleh dilihat peruntukannya di dalam tiga tempat iaitu kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Negeri-negeri, kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen/Ordinan/Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri, dan kesalahan-kesalahan di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah yang secara khususnya memberikan peruntukan berkaitan dengan jenayah berkenaan.

Kesalahan-kesalahan yang berada di tempat yang ketiga ini juga turut melibatkan kesalahan jenayah syariah matrimoni seperti poligami tanpa izin mahkamah dan perceraian dilakukan di luar mahkamah.

Sehubungan dengan ini, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor telah membentuk beberapa kategori jenayah yang tertentu, iaitu kesalahan berkaitan akidah seperti menyebarkan doktrin palsu dan takfir. Berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina perkara-perkara yang berkait dengan agama, pihak berkuasa agama, fatwa, ingkar perintah mahkamah, berjudi, minum arak dan minuman yang memabukkan, tidak menghormati bulan Ramadan, tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak membayar zakat atau fitrah. Seterusnya ,berhubung dengan kesusilaan seperti sumbang mahram, pelacuran, hubungan jenis, khalwat, lelaki berlagak seperti pondan dan perlakuan tidak sopan di khalayak awam.

Kesalahan pelbagai seperti membawa lari wanita yang sudah bersuami, menghalang pasangan yang telah bernikah daripada menjalani kehidupan sebagai suami isteri, menghasut suami isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajipan, menjual atau memberi anak kepada bukan Islam, qazaf (menuduh zina), mengutip zakat tanpa kebenaran dan menyalahgunakan tanda halal. 

Bidang kuasa Mal Mahkamah Syariah

Istilah 'mal' sebenarnya merujuk kepada harta tetapi dalam konteks perundangan, ia merujuk kepada kes-kes bukan jenayah. Bidang kuasa mal bagi Mahkamah Syariah terpakai kepada semua orang Islam yang tinggal pemastautin negeri-negeri. Dan sebenarnya, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mal yang hampir menyeluruh dan merangkumi banyak aspek kekeluargaan Islam.

Berkaitan dengan isu-isu sebelum perkahwinan seperti putus tunang, permohonan kebenaran untuk berkahwin dan permohonan untuk berpoligami.Persoalan semasa perkahwinan seperti permohonan mengesahkan perkahwinan, permohonan membatalkan perkahwinan yang tidak sah, permohonan nafkah diri, nafkah anak, mensabitkan isteri nusyuz, permohonan isteri supaya suami hidup bersama semula dan sebagainya.

Persoalan pembubaran perkahwinan seperti permohonan cerai , fasakh, talak, taïliq, perceraian dengan perintah, kerana murtad dan juga secara anggapan mati. Sebarang permohonan di dalam sesuatu kes sedang berjalan (interlocutory order) .Contohnya, permohonan sementara nafkah sama ada diri dan anak, hadanah, perintah larangan terhadap harta dan gangguan.

Bagi perkara ini, bukanlah sesuatu yang luar biasa satu-satu kes perbicaraan mengambil masa yang lama, kerana terlalu banyak isu yang perlu diselesaikan. Dalam sepanjang tempoh berkenaan, banyak perkara yang timbul yang perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah. Sekiranya tidak diselesaikan, akan menyebabkan ketidakadilan dan aniaya kepada pihak-pihak yang terlibat. Oleh yang demikian, undang-undang memberikan ruang supaya pihak-pihak yang terlibat ketika menanti keputusan yang jelas dari pihak mahkamah dibenarkan untuk membuat permohonan sementara, sementara perbicaraan dijalankan. Umpamanya, adalah sangat wajar bagi seorang wanita memohon larangan (injunksi) terhadap bekas suaminya untuk tidak mengganggunya. Begitu juga memohon perintah larangan agar harta yang dimiliki secara bersama tidak dibenarkan untuk dilibatkan dalam sebarang urusan.

Selain itu ,isu-isu yang berbangkit selepas perceraian. Perkara-perkara ini boleh dirujuk di mahkamah yang ada bidang kuasanya, iaitu selepas perceraian berlaku. Umpamanya, sagu hati (mutaah) selepas perceraian, harta sepencarian, nafkah iddah, nafkah anak, nafkah tertunggak dan juga soal hadanah (penjagaan anak), permohonan-permohonan mengenai wasiat, wakaf dan harta pusaka serta permohonan penguatkuasaan perintah mahkamah.
Ini berlaku apabila keputusan yang dikeluarkan tidak diikuti oleh pihak yang kena tanggungan. Maka, pihak-pihak yang satu lagi boleh menuntut supaya perintah-perintah yang dikeluarkan itu dikuatkuasakan oleh pihak mahkamah.

Seksyen 11 : Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Terengganu dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.

Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa jenayah, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Seterusnya ,dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan pertunangan, perkahwinan, ruju' , perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri.

Selain itu ,apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i). Nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak. Disamping itu, pembahagian atau tuntutan harta sepencarian ,wasiat atau alang semasa marad-al-maut, alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang orang Islam.

Seterusnya ,wakaf atau nazar, pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat. Penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak.

Disamping itu, pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam. Pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya. Perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Seksyen 12 : Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah.

Sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Terengganu dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah. 
Mahkamah Rendah Syariah dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Seterusnya, dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh dari semasa ke semasa melalui perintah yang disiarkan dalam Warta memperluaskan bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah.

Seksyen 16 : Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Tinggi Syariah.

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika tampak perlu oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil, dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan. 

Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod sesuatu perkara atau prosiding di bawah subseksyen (1), semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

Seksyen 17 : Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah.

Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya. 
Apabila suatu rayuan daripada sesuatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk diputuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.
Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah, dan yang difikirkannya adil bagi pemberesan rayuan itu.

Seksyen 18 : Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Rayuan Syariah.

Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, jika didapati perlu olehnya demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam Mahkamah Tinggi Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan. 
Apabila Mahkamah Rayuan Syariah memanggil rekod tentang apa-apa perkara atau prosiding di bawah subseksyen (1), semua prosiding dalam Mahkamah Tinggi Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.


 STRUKTUR ORGANISASI MAHKAMAH SYARIAH

Mahkamah Rayuan

Mengurus, mendengar, meneliti, menghalusi dan memutuskan kes-kes rayuan yang dibawa dari Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut peruntukan Hukum Syarak dan Undang -undang. Menjalankan semakan keatas rekod perbicaraan kes-kes jenayah Mahkamah Tinggi Syariah baik dalam bidangkuasa asalnya maupun dalam bidangkuasa rayuannya.
Selain itu , melakukan semakan rekod mana-mana prosiding dalam perkara jenayah di Mahkamah Tinggi Syariah bagi maksud meyakinkannya bahawa keputusan prosiding itu adalah betul dan sah, dan membawa prosiding itu dijalankan mengikut peraturan Mahkamah dan mewujudkan sistem Kehakiman Syariah secara teratur, profesional dan berkesan.

Mahkamah Tinggi

Menguruskan pentadbiran perkhidmatan dan pembangunan Mahkamah Rayuan Syariah dan Jabatan Kehakiman Syariah keseluruhannya. Disamping itu, menerima kes yang dibawa ke mahkamah ini sama ada kes-kes mal maupun jenayah dan faraid, dan menguruskannya.
Selain itu, mendengar dan menyelesaikan kes-kes mula bicara yang dibawa ke mahkamah ini dengan adil dan saksama mengikut peruntukan yang diberi dalam Hukum Syarak dan undang-undang. Menjalankan semakan ke atas rekod perbicaraan kes-kes jenayah Mahkamah Rendah Syariah Daerah-Daerah.
Akhir sekali , mendengar, meneliti, menghalusi dan memutuskan kes-kes rayuan daripada Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah.

Mahkamah Rendah

Pada hari ini terdapat 7 Mahkamah Rendah Syariah di Terengganu, iaitu mengikut daerah-daerah yang ada. Setiap Mahkamah berkenaan mempunyai fungsi yang sama cuma mengikut daerah masing-masing seperti menerima kes yang dibawa ke mahkamah ini sama ada kes-kes mal, jenayah dan faraid dan menguruskannya.
Selain itu, mendengar dan menyelesaikan kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini dengan adil dan saksama mengikut peruntukan yang diberikan dalam Hukum Syarak dan Undang-undang. Pengendalian Mahkamah Rendah Syariah di daerah-daerah. Menerima tuntutan atau permohonan atau dakwaan daripada mana-mana orang.
Disamping itu ,mendaftar dan mengkategorikan kes, membicarakan kes, membuat keputusan hukuman dan perintan serta melaksanakan hukuman dan mana-mana perintah yang berkaitan.


PERANAN MAHKAMAH SYARIAH

Peranan mahkamah syariah ialah mengekalkan perundangan Islam yang diperuntukkan kepada mahkamah ini bagi menjamin setiap Muslim patuh dan tidak melanggar perintah Allah s.w.t berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, menjalankan pentadbiran agama Islam al-Quran dan as-Sunnah bagi menjamin kesejahteraan orang Islam serta melahirkan keluarga Islam yang berpegang teguh pada ajaran Islam serta mengawasi mereka supaya menjalani kehidupan mengikut syariat Islam.

Selain itu ,menyelamatkan umat Islam daripada pepecahan dan keruntuhan rumahtangga, tempat rujukan untuk mendapatkan khidmat nasihat serta menyelesaikan masalah rumahtangga. memberi bimbingan dan nasihat kaunseling kepada pasangan yang ingin berumahtangga agar dapat membina rumahtangga yang bahagia sebagaimana tuntutan agama, tempat membuat rayuan daripada pihak isteri untuk mendapatkan nafkah daripada suaminya yang sudah bercerai serta tempat untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan seperti nikah kahwin, penceraian, talak, fasakh, dan sebagainya.

Disamping itu, menyelesaikan masalah sosial dalam masyarakat seperti judi, minum arak, riba, khalwat, dan lain-lain perkara mungkar, membantu serta menyelesaikan pembahagian harta pusaka dan hal-hal berkaitan seperti wasiat juga bertugas sebagai penasihat jika diminta oleh kerajaan.


Akhir sekali, badan yang dilantik oleh kerajaan yang bertanggungjawab memberi penerangan berkait dengan keagamaan, kekeluargaan dan sentiasa berdakwah sepanjang masa serta menerapkan nilai-nilai Islam agar orang Islam mengamalkan sistem dan cara hidup Islam secara menyeluruh dalam kehidupan mereka.

CONTOH KES DI KUALA TERENGGANU

Pengikut Anggap Ayah Pin Tuhan, Terima Wahyu - Saksi

KUALA TERENGGANU 5 Mac - Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa dua pengikut Ariffin Mohamad, 65, atau Ayah Pin mendakwa ketua ajaran sesat itu sebagai `Tuhan' dan menerima wahyu dari langit.

Pegawai Penguat Kuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd. Tahir Long berkata, Tuan Rosmani Tuan Muda dan Wan Noriah Wan Ali memberitahu perkara itu kepadanya semasa keterangan mereka diambil pada 20 Julai tahun lalu.

Beliau berkata, keterangan itu dibuat kira-kira pukul 3 petang di Balai Polis Kampung Raja, Besut selepas mereka ditahan dalam satu operasi pihak berkuasa di perkampungan `Kerajaan Langit' di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Menurutnya, Tuan Rosmani yang tinggal di perkampungan itu sejak enam tahun lalu bersama suami dan empat anaknya, turut mendakwa Ayah Pin adalah pencipta segala agama.

Malah, katanya, pengikut tersebut menjelaskan bahawa lelaki yang mempunyai empat isteri itu menerima wahyu dari langit dan semua yang dibuatnya adalah berasaskan wahyu tersebut.
Mohd. Tahir memberi keterangan ketika perbicaraan terhadap 48 pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang dituduh menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama kerana tindakan mereka menyertai ajaran itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi dengan berada dalam kawasan kediaman Ariffin, di Kampung Batu 13, Hulu Besut pada 20 Julai lalu.

Sehubungan itu mereka dituduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Hakim Mohamad Abdullah, hari ini menggugurkan tuduhan terhadap seorang pengikut, Ismail Mohd, 50, yang meninggal dunia pada 4 Januari lalu akibat sakit jantung.

Proses pendakwaan kes itu dibuat oleh Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Saadiah Din.

Mohd. Tahir yang juga saksi kelima pendakwa berkata, seorang lagi pengikut kumpulan itu, Wan Noriah dalam keterangannya berkata, Ayah Pin adalah tuhan dan sebab itu dia disembah oleh beberapa pengikut yang mendapat ilham semasa tidur.

Bagaimanapun, katanya, wanita yang membuka kedai runcit di kawasan itu sejak 18 tahun lalu berkata, dia tidak pernah nampak ketuanya itu menunaikan solat selain tidak ada surau untuk bersolat di perkampungan itu.

Sementara itu, semasa menjawab soalan balas peguam bela, beliau menjelaskan semua keterangan dua pengikut itu termasuk beberapa pengikut lain pada hari tersebut dibuat secara suka rela dan disahkan oleh penguat kuasa syariah, Ismail Awang, 53, yang juga saksi 
keenam pendakwa.

Ujarnya, dia juga merakamkan 12 keping gambar bangunan dan replika gergasi yang terdapat di perkampungan itu serta membuat lakaran lokasi kawasan kediaman Ayah Pin dan penduduknya di perkampungan itu pada 26 Julai lalu.

Katanya, terdapat banyak deretan rumah di kawasan itu tetapi dia mengakui tidak tahu lokasi sebenar rumah Ayah Pin.

PENUTUP/RUMUSAN

Mahkamah Syariah telahpun mengalami banyak perubahan terutama dari sudut pentadbiran yang lebih cekap, efisien dan sebagainya. Dan inilah sebenarnya yang diharapkan oleh 
masyarakat.

Ini adalah kerana salah satu prinsip pemakaian undang-undang yang agak penting ialah soal pengiktirafan (recognition) masyarakat. Apabila masyarakat merasakan Mahkamah Syariah boleh diharapkan, diberi kepercayaan dan boleh menyelesaikan masalah-masalah masyarakat, maka di situlah wujudnya pengiktirafan di kalangan masyarakat.

Pada hemat penulis, Mahkamah Syariah di Malaysia telahpun diberi pengiktirafan oleh masyarakat. Ini adalah kerana, kita sama-sama dapat melihat mahkamah telahpun menangani banyak kes kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam. Begitu juga dalam soal jenayah syariah. Mahkamah Syariah di Malaysia telahpun mengendalikan kes-kes jenayah syariah.

Walau bagaimanapun, persoalannya bagaimana hendak memaksimumkan pemahaman masyarakat mengenai bidang kuasa mahkamah? Ini kerana disebabkan pemahaman inilah yang menyebabkan mereka yang menghadapi masalah, membawa masalah mereka itu ke hadapan mahkamah. Dalam keadaan mereka boleh mengharapkan Mahkamah Syariah memberikan keadilan kepada mereka, memberikan hak yang dituntut dan boleh menghukum mana-mana pihak yang mengabaikan tanggungjawab mereka ataupun bagi mereka yang telah melakukan kesalahan.

Maka, maklumat sebegini amatlah diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat awam, khususnya masyarakat Islam di Malaysia memahami bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia.

No comments:

Post a Comment